JellyPages.com

✿ Dengan Menyebut Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang ✿


Thursday 6 December 2012

Mereka Menjauh Kerana Kita...

Assalammualaikum...
Sollu ala-nabiyy...

Ada kata-kata kita yang kita humbar sesuka hati, tanpa kita mengira ada hati-hati yang lain, yang mudah rapuh, yang mudah tersantuh, lalu hati-hati itu terguris tanpa kita sedari. Dan kita cuma merasa kepuasan hati tak terhingga. Kita seolah telah menjadi juara di atas kemenangan menzalimi hati insan yang tidak sepatutnya disakiti... Kita seakan lupa bahwasanya, kelak akan ada suatu masa, kata yang kita lafaz pada ketika ini, akhirnya akan menjerat diri sendiri. 

Ada sikap kita yang diterjemah melalui tingkah laku kita yang menyinggug perasaan insan lain. Kita seolah-olah sengaja, mahu menyatakan kepada mereka, "ayuh, kita berlawan" melalui perbuatan bisu yang berbisa... Sedang hakikatnya mereka cuma menjalani kehidupan mereka dengan cara mereka, dengan apa adanya diri mereka, dengan apa yang mereka syukuri, dengan apa yang mereka sukai, dengan apa yang mereka hargai...

Dan di atas semua itu, mereka menjauh... Sehingga kita merasa tersisih... Mereka sengaja menjauh. Kerna, mereka mahu bersungguh-sungguh menjaga hati agar tidak tercemar dengan perkara yang sia-sia dek kerana sikap kita yang entah apa-apa. Namun, kita sewenangnya menyalahkan mereka begitu begini, sedang hakikat meraka berbuat demikian disebabkan kita sendiri. Kita mudah menghukum mereka dengan segala unsur kejahatan yang kita mahu, tanpa kita menyedari mereka melakukan itu untuk membuatkan kita sedar diri apa yang kita telah lakukan itu salah... Mereka penat. Penat berhujah panjang lebar, dan kita endah tak endah, pernah juga kita buat tak tahu. Sengaja kita membutakan hati. Paling perih mereka rasa, bila kita buat mereka tidak wujud di saat mereka benar-benar mahu menghulur tangan mengelak kita jatuh pada lumpur dosa yang sama. 

Tidak lagi mereka terdaya. Mereka sebenarnya kecewa dengan kita. Lalu, mereka pergi membawa diri. Tidak mahu lagi menolah kita di sini. Mereka cuba membantu semampunya. Tapi mereka gagal! Kerna kita sendiri tidak bersungguh... 

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." Ar-Ra'd ayat 11. Kalimah inilah yang kita sering terlepas pandang. Kita tahu. Tapi kita sengaja buat-buat tak tahu... Astaghfirullahalazim... Astaghfirullahalazim... Astaghfirullahalazim...

Semoga kita segera sedar. Sementara masih di beri ruang dan peluang untuk menanggalkan jauh-jauh sikap mazmudah  dan mematri utuh  mahmudah dalam diri...

Gadis,
-Kamar Study-
8:28 pm
6/12/2012
Khamis.


Sunday 2 December 2012

Kisah Malam...

Assalammualaikum...
Sollu ala-nabiyy...

Saat itu, gelap malam masih pekat... Sunyi sepi... Kedengaran cuma detikan jam dinding... Hati resah gelisah... Seperti ada sesuatu yang menekan jiwa... Kurang senang dengan perasaan itu, dia bangkit dari tempat pembaringannya. Diurut-urut dadanya perlahan seraya beristighfar. "Kenapa dengan aku nieh? Ya Allah... Kenapa dengan aku?" Sengaja dia menyoal diri, sedangkan dia tahu mengapa dia resah... Dia ego, masih tidak boleh terima hakikat, yang mana dia resah begitu atas dosa yang telah dia lakukan pada siangnya. 

Sebagai gadis biasa, dia pastinya tidak akan mampu untuk menghindar dari terpalit lumpur dosa. Namun, itu bukan suatu alasan untuk dia terusan melakukan dosa. Allah sendiri telah berfirman dalam ayat cintanya, surah Ar-Rad ayat 11, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan diri mereka sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.". Sudah jelas nyata. Tiada lagi alasan. 

Ya, dia sedang menuju perubahan. Meninggalkan zaman gelapnya untuk kembali kepada jalan pulang, jalan menuju Yang Satu, menuju kepada fitrah insani. Mentaati dan tidak mengingkari. Namun ianya bukan semudah diperkata. Banyak onak duri yang perlu ditempuh. Banyak luka yang perlu disembuh. Sebelum benar-benar sampai pada pada cinta yang benar-banar ampuh, cinta pada Pencipta yang mencipta cinta! Tidak mudah, tidak juga payah jika hati benar bersungguh untuk menggapainya. Yakin sahaja. Niatkan kerana Nya, bukan pada manusia lainnya.

Ada ketika imannya meninggi... Niatnya telus lurus. Tidak ada simpang siurnya. Perihal dunia, seakan-akan lenyap dalam dirinya. Tidak dia peduli kata-kata orang yang mengata. Dibiarkannya seperti angin lalu. Baginya cukup Allah mengetahui. 

Namun ada pula ketikanya imannya jatuh merundum. Dia melakukan dosa tanpa mengira bahawa ada Pemerhati yang tidak pernah tidur menyaksikan kemungkarannya. Ada Pencatat setia yang tidak pernah jemu mancatat dosa-dosanya. Ya, ketika itu, dia seolah-olah hilang pedoman. Seolah tidak hidup ber Tuhan. Lupa diri. Tidak sedar diri. Tidak malu dengan diri sendiri. Dia lupa yang dia melakukan dosa dengan semua kepunyaan Allah! Mata untuk melihat perkara-perka mungkar. Mulut untuk berdusta, mengumpat. Tangan untuk mengerja yang sia-sia,  kaki untuk melangkah ke tempat yang tidak sepatutnya dan segala bagai dosa. Jika mahu dinyatakan di sini, pastinya tidak akan pernah habis. 

"Astaghfirullahalazim..."

"Astaghfirullahalazim..."

"Astaghfirullahalazim..."

Dia kembali menyambung pembaringannya. Dalam samar-samar cahaya lampu kalimantang di luar bilik tidurnya, dia cuba berusaha melelapkan mata. Tapi gagal. Dia bangkit kembali. Kali ini untuk menekan suiz radio hitam milik arwah atoknya. Kedengaran sayup-sayup keluar dari corong radio frekuensi 93.60, alunan zikir. Zikir pada keheningan malam itu memenuhi ruang biliknya. Dia terkedu. Tiba-tiba hati jadi sayu. Lalu, matanya pun basah. "Jauh benar aku tersasar ya Allah..." Katanya separuh berbisik. 

Dia bersandar di birai katil. Duduk kaku. Diam membisu. Dia tidak ingin melakukan apa-apa melainkan mengenang segala dosa yang telah dia perbuat. Sesekali dia menggeleng-gelengkan kepala. Sesekali dia mengeluh. Sesekali dia mengurut-ngurut dadanya perlahan sambil beristighfar. Dan sesekali dia menghembus keras nafas tanda kesal. Dia sedang muhasabah diri. Dia semakin tenang. Setenang alunan zikir yang didengarinya. 

Dia yang baru berubah, walaupun payah, dia harus teruskan jua. Walauapa sekalipun terjadi. Dia sudah nekad. Di tanamnya dalam-dalam hasrat untuk berubah itu. Semata-mata untuk Illahi, juga untuk dirinya sendiri, tak lupa sebagai contoh untuk adik-adiknya, kerana dia seorang kakak! Dan seorang kakak, harus, mesti, wajib menampilkan contoh yang baik, walaupun dia sebenarnya tidak lah sebaik mana. Masih juga seorang hamba. Kurang sana sini. 

Dia sedang mencuba. Memperbaiki segala tingkah yang kurang. Menambah baik amalan yang telah dia lakukan. Sekali dia tersungkur, 10 kali dia mencari cara untuk cuba bangkit. Ya, dia akan cuba. Semangatnya tak pernah luntur walaupun dia selalu tewas dengan nafsu sendiri. Itulah dia. Dia memang begitu. Masih merangkak mencari jalan pulang pada Tuhan. 

Dia menyedari hakikat, rahmat Allah itu terlalu luas... Dan Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Sungguh, Allah itu Maha Baik. Sejauh mana pun seorang hamba itu menjauh dari Penciptanya, namun DIA tetap sedia melimpahkan rahmat dan kasih sayang Nya, juga dibuka pintu taubat seluasnya. Semakin dia tenang. Setitis air mata mula menitik. Kemudian menitik lagi. Dan akhirnya matanya banjir. "Menangislah sepuasnya. Biar kau lega..." Terngiang-ngiang kata-kata itu di cuping telinganya. Entah dari mana. Entah suara siapa. Pada ketika itu, dia cuma berharap Allah memberinya peluang untuk dia mencari ruang menjadi lebih baik. Tidak terdaya dia tanpa pertolongan dari Nya. Di ketika itu, dia minta yang baik-baik. Dia juga berharap yang baik-baik. Dia ingin melakukan yang baik-baik. Segala hal yang baik-baik dia minta. 

Dia berdoa supaya dia menjadi seorang hamba yang baik,
Dia berdoa supaya dia menjadi seorang umat Nabi Muhammad SAW yang baik,
Dia berdoa supaya dia menjadi seorang anak yang baik,
Dia berdoa supaya dia menjadi seorang kakak yang baik,
DIa berdoa supaya dia menjadi seorang saudara yang baik,
Dia berdoa supaya dia menjadi seorang sahabat yang baik,
Dia berdoa supaya dia menjadi seorang pelajar yang baik,
Dia berdoa supaya dia menjadi seorang isteri yang baik,
Dia berdoa supaya dia menjadi seorang ibu yang baik,
Dan,
Di akhirnya dia berdoa supaya dia meninggalkan dunia dalam keadaan baik. :") 

"Dan Tuhanmu berfirman, "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina"  Surah Ghafir ayat 60.



-Kamar Ku Syurgaku-
Gadis,
1:53 pm
3/12/2012